Keteguhan iman, takwa cegah masalah jangka panjang


Oleh Noor Shakirah Mat Akhir

ISLAM mengutamakan pencegahan untuk mengelak sesuatu masalah dan apabila masalah berlaku, Islam menganjurkan kembali kepada akar permasalahan supaya penyelesaian mampu mencegah masalah serupa berulang.

Aspek pencegahan diutamakan Islam dalam menghadapi masalah merujuk kepada matlamat yang ingin dicapai berdasarkan kepada lima perkara iaitu memelihara agama, diri atau jiwa, keturunan, akal dan harta.

Syariah Islam ialah sistem hidup dan nilai merangkumi soal peribadi, sosial, politik, ekonomi dan intelektual. Ia meletakkan asas yang tidak berubah tetapi menyediakan ruang untuk disesuaikan dengan keperluan, nilai, perubahan dan tujuan.

Jika dipatuhi kelima-lima objektif yang ingin dicapai, pelbagai masalah dapat dielakkan. Apabila agama terpelihara, tiada kehilangan jiwa, tiada kepincangan dalam nasab keturunan, tidak wujud fikiran tidak waras dan seterusnya tiada kerugian harta benda.

Contoh, orang yang beriman akan menjauhi najis dadah. Jika tiada yang menagih, maka tiada akan menjadi mangsa ragut, tiada menghidapi AIDS dan tidak lahir anak yang tidak berdosa dengan HIV. Jika keimanan diterapkan sejak awal perkembangan berserta sokongan persekitaran bebas unsur tidak sihat, maka tiada yang mudah melakukan perkara menyalahi syariat agama.

Asas kepada keseluruhan ajaran Islam ialah keimanan tauhid iaitu mempercayai Allah serta rukun iman yang mengawal segala tingkah laku seseorang Muslim yang yakin mengenai hari akhirat dan pembalasan.

Isu terkini berlaku dalam masyarakat seperti kehamilan luar nikah, pembuangan bayi serta pembabitan kegiatan tidak bermoral disebabkan kalah kepada godaan syaitan. Akar permasalahan menjurus kepada kelemahan iman dan kaedah mengatasinya ialah mengembalikan kekuatan iman.

Jika masalah diatasi dengan kaedah yang hanya memberi fokus kepada penyelesaian kesan terkini, ia akan hanya berkesan untuk sementara waktu. Masalah sama tetap akan berulang jika akar atau punca masalah tidak diatasi.

Kaedah mengatasi masalah seperti dianjurkan Islam bermatlamat menyelesaikannya bersesuaian dengan fitrah manusia. Fitrah manusia sudah tentu tidak dapat dihapuskan, tetapi perlu disesuaikan dengan apa yang Islam sarankan.

Pergaulan sememangnya diharuskan Islam tetapi batas pergaulan perlu dipelihara. Berpakaian cantik dan berhias adalah fitrah manusia, namun perlu mengikut garis panduan seperti ditetapkan Islam.

Manusia yang kejadiannya terdiri daripada unsur rohani dan jasmani tidak pernah bebas daripada dua keperluan namun keperluan rohani yang utama kerana aspek rohani membentuk hakikat diri insan. Oleh itu, nafsu dan faktor godaan syaitan perlu dikawal dengan unsur kerohanian Islam.

Jika untuk memastikan kesihatan fizikal, kaedah yang terbaik ialah menguatkan sistem imun badan. Begitu juga halnya dengan kesihatan dalaman. Sistem imun untuk kesihatan rohani adalah keimanan utuh yang mampu melawan apa saja penyakit menggugat daya tahan melawan kehendak nafsu jahat dan godaan syaitan.

Mengatasi masalah pembuangan bayi dengan menyediakan tempat selamat untuk ditinggalkan bayi tanpa sebarang persoalan bukanlah cara penyelesaian terbaik atau kaedah menyelesaikan masalah bersifat jangka panjang.

Kaedah penyelesaian bersifat jangka panjang perlu diambil di samping penyelesaian jangka pendek. Penyelesaian menyeluruh ialah kaedah mengembalikan kekuatan iman melahirkan ketakwaan kepada Allah seterusnya menjadi kawalan kepada setiap tingkah laku Muslim setiap masa.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang paling bertakwa di

antara kamu.” (Surah al-Hujurat,ayat 13)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *