Dr Mohd Khafidz Soroni

Sesat dan kafir adalah dua hukum yang berbeza. Hukum kafir boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam. Namun, hukum sesat hanya menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Ahli Sunah Waljamaah sahaja, belum terkeluar daripada Islam.

Antara faktor kafir adalah disebabkan seseorang itu mengingkari perkara agama yang mutawatir dan wajib diketahui seperti tidak mentauhidkan Allah SWT, menafikan kerasulan Nabi SAW, mengingkari kefarduan solat, zakat dan seumpamanya.

Faktor sesat pula adalah disebabkan seseorang itu mengingkari prinsip yang disepakati oleh Ahli Sunah Waljamaah seperti mencerca sahabat Nabi SAW, mengagungkan akal melebihi wahyu, mengatakan al-Quran sebagai makhluk, menafikan sifat Allah, menetapkan sifat Allah seumpama makhluk dan sebagainya.

ADVERTISING

Perkara ini menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Ahli Sunah Waljamaah dan termasuk dalam golongan ahli bidaah. Bagaimanapun, sebahagian mereka adalah orang yang thiqah, tidak berbuat dusta atau sebarang maksiat. Oleh itu, dalam aspek periwayatan hadis, hal ini tidak menghalang ulama hadis daripada mengambil riwayat mereka.

Misalnya, di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat ramai perawi yang berfahaman bidaah seperti Syiah, Qadariyyah, Nawasib, Khawarij dan Murji’ah. Namun, riwayat mereka masih diambil kira oleh ulama hadis dengan syarat tertentu seperti perawi bidaah terbabit tidak menghalalkan perbuatan dusta dan bukan penyeru fahaman sesatnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Huda as-Sari menyebutkan, terdapat 69 perawi yang dikatakan berfahaman bidaah di dalam Sahih al-Bukhari. Ini membuktikan Imam al-Bukhari berpendapat, harus mengambil riwayat hadis daripada mereka. Pendapat ini juga sebenarnya pendapat ramai ulama hadis lain. Imam as-Syafie misalnya, menilai guru beliau, Ibrahim bin Abi Yahya yang berfahaman Qadariyyah sebagai thiqah dan beliau tidak pun mengkafirkannya.

Sekalian ulama jelas amat berhati-hati dan tidak mudah menuduh seseorang sebagai kafir (takfir) atau terkeluar daripada Islam. Ini kerana sesat bukan bererti kafir. Pendirian mereka ini bertepatan dengan banyak hadis Nabi SAW.

Antaranya, sabda Nabi SAW: “Barang siapa memanggil seorang yang lain sebagai kafir atau sebagai musuh Allah, sedangkan ia tidak benar melainkan tuduhan itu akan kembali kepadanya. Dan tidak menuduh seorang terhadap seorang yang lain sebagai fasiq atau menuduhnya sebagai kafir melainkan ia akan kembali kepadanya sendiri jika sahabatnya itu tidak seperti yang dikatakan.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Sabda Nabi SAW lagi: “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya yang lain: Hai kafir, maka kembali tuduhan itu kepada seorang daripada mereka.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ini menunjukkan perbuatan menuduh seorang Muslim sebagai kafir tanpa hak adalah satu jenayah yang berat. Al-Hafiz az-Zahabi di dalam kitab al-Kaba’ir meletakkan hadis ini sebagai dalil bagi dosa besar yang ke-49 iaitu memberontak menjatuhkan pemerintah dan menghukumkan kafir orang yang melakukan dosa besar.

Pernah Khalid bin al-Walid RA meminta izin untuk memenggal leher orang yang biadab terhadap Nabi SAW, namun baginda melarangnya kerana dia masih bersolat. Lantas Khalid berkata: “Berapa ramai orang yang bersolat hanya menyebut dengan lidahnya apa yang tiada di dalam hatinya”. Namun baginda bersabda: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk membelah isi hati manusia atau membedah perut mereka.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Jika masih terpelihara kedudukan orang yang bersikap biadab terhadap Nabi SAW kerana dia masih bersolat disebabkan solat itu mengandungi pengabdian dan ketauhidan yang mutlak kepada Allah SWT.

Maka, apatah lagi sepatutnya kedudukan setengah ahli sufi yang masih mengerjakan solat, meskipun kalamnya banyak berbentuk intuitif, isyarat dan perlambangan (rumuz) yang mungkin boleh difahami sebagai kafir atau boleh ditakwilkan selaras dengan syarak. Lebih-lebih lagi jika mereka yang ahli dalam bidang kesufian menjelaskan kalamnya bukan seperti yang difahami zahirnya.

Jika benar dia tersalah sekalipun, tetap tidak boleh dihukum kafir disebabkan wujudnya subahat tadi. Oleh itu, berhati-hatilah daripada melakukan takfir kerana dikhuatiri hakikat makna sebenarnya tidaklah seperti yang disangka.

Imam al-Ghazali pernah menegaskan: “Tersalah dalam meninggalkan 1,000 orang kafir itu hidup lebih ringan daripada tersalah menumpahkan darah seorang Muslim.”

Prinsip Ahli Sunah Waljamaah dalam isu ini amat jelas iaitu tidak mengkafirkan seorang pun ahli kiblat yang masih mengucap dua kalimah syahadah serta menunaikan solat. Kata Imam at-Tahawi dalam Akidahnya: “Kita tidak mengkafirkan seorang pun ahli kiblat disebabkan sesuatu dosa selama mana dia tidak menghalalkannya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published.