HARI Raya Aidiladha bakal disambut oleh umat Islam khususnya di Malaysia pada 10 Zulhijah bersamaan 10 Julai 2022.

Dalam kalendar Islam, bulan Zulhijah merupakan satu daripada empat bulan haram dimuliakan Allah SWT, di samping tiga bulan Islam lain iaitu Zulkaedah, Muharram dan Rejab.

Antara peristiwa terbesar dalam bulan Zulhijah adalah ibadah haji dan korban disyariatkan ke atas umat Islam terutamanya bagi golongan yang berkemampuan sebagai lambang ketataatan kepada perintah Allah SWT.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bermaksud “Seorang lelaki berkata, ‘Wahai Rasulullah, apakah amalan yang afdal,’ Baginda menjawab, “beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.” Kemudian dia berkata, “selepas itu, apa?” Baginda menjawab,” jihad
di jalan Allah.” Dia berkata lagi, “seterusnya, apa?” Baginda menjawab, “haji yang mabrur.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.”

Di Wilayah Persekutuan, semua masjid dan surau dibenar melaksana ibadah korban bermula selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah 1443H sebelum berakhir waktu Asar.

Namun masjid, surau dan mana-mana pihak melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban perlu mematuhi peraturan atau ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan kemaslahatan semua pihak sentiasa terpelihara.

Kebenaran tersebut selaras dengan situasi semasa negara yang kini berada dalam fasa peralihan ke endemik.

Pada tahun ini, umat Islam berpeluang menunaikan ibadah haji di Makkah al-Mukarramah selepas 2 tahun hasrat tersebut tertangguh akibat pandemik Covid-19 melanda dunia. Kuota haji ditetapkan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia bagi musim haji tahun ini berjumlah 14,306 jemaah. Semoga dengan ketetapan dan kemudahan tersebut, umat Islam dapat merebut peluang meraih ganjaran pahala serta meningkatkan penghayatan terhadap ibadah haji dan korban sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Kedatangan bulan Zulhijah besar maknanya dalam kalendar tahunan umat Islam. Allah SWT juga menjadikan 10 hari terawal Zulhijah sebagai tempoh yang dapat dikongsi bersama bagi orang yang mengerjakan haji dan mereka yang tidak mengerjakannya.

Sesiapa yang tidak mampu mengerjakan haji dalam tahun tersebut boleh melaksanakan pelbagai ibadah dan amal soleh di tempat masing-masing sepanjang 10 hari berkenaan.

10 hari pertama dalam bulan Zulhijah hari yang paling istimewa seperti dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada hari yang amal solehnya lebih dikasihi Allah selain daripada hari yang 10 ini. Sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” (Riwayat Ahmad dan Al-Tirmizi)

Di dalam sebuah hadis lain daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan ibadah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun, dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Antara amalan dianjurkan pada 10 hari terawal bulan Zulhijah seperti memperbanyakkan bertaubat dan beristighfar, membaca al-Quran, berpuasa, qiamullail, bersedekah, berzikir dan berselawat, memelihara silaturahim, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan solat berjemaah di awal waktu.

Amalan berdoa untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat serta berzikir dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir selari dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 200-201 yang bermaksud “Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi.

Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia.” (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.”

Berkenaan ibadah puasa, antara yang dituntut untuk dilaksanakan adalah puasa Hari Arafah iaitu puasa pada hari ke-9 Zulhijah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji.

Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat yang lain.

Berpuasa Sunat Arafah diganjari pahala yang sangat besar, sebagaimana maksud sebuah hadis daripada Abu Qatadah al-Anshari RA, Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)

Justeru, masjid dan surau khususnya di Wilayah Persekutuan boleh menganjurkan program dan aktiviti seperti majlis iftar, qiamullail, infaq dan sedekah, zikir dan selawat serta pelbagai lagi sebagai pengisian yang bermanfaat kepada masyarakat.

Selain menggalakkan ahli kariah masjid dan surau merebut peluang bagi meraih ganjaran pahala dijanjikan Allah SWT dalam bulan Zulhijah, aktiviti tersebut dapat menyokongm usaha berterusan dalam mengimarahkan masjid dan surau lebih-lebih lagi selepas pelbagai kelonggaran kembali diberikan menuju fasa endemik.

Leave a Reply

Your email address will not be published.