Dr Muzaffar Syah Mallow

Musim haji tiba lagi. Berjuta-juta umat Islam dari serata dunia termasuk dari Malaysia kini sedang berkumpul di Tanah Suci Makkah Al-Mukaramah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima dan yang terakhir iaitu menunaikan ibadah haji. Ibadah haji pada tahun ini adalah lebih bermakna kerana sudah dua tahun ramai umat Islam tidak dapat menunaikannya kerana penularan virus Covid-19 pada tahun 2020 yang lalu. Ibadah haji adalah wajib bagi setiap umat Islam yang mampu dari segi tahap kesihatan serta kewangan untuk menunaikannya dengan mengunjungi dan melaksanakan beberapa bentuk ibadah yang telah ditetapkan di beberapa tempat di Makkah Al-Mukaramah serta kawasan yang berhampiran dengannya pada musim haji iaitu pada bulan Islam, Zulhijah, bulan terakhir dalam kalender umat Islam.

Ibadah haji telah dilakukan semenjak zaman Rasullulah SAW lagi iaitu pada kurun ketujuh masihi. Namun, pakar sejarah Islam berpendapat, ibadah haji terbabit telah dilaksanakan lebih awal lagi iaitu semenjak zaman Nabi Ibrahim AS beberapa ribu tahun yang lalu. Dalam menunaikan ibadah haji ini, pelbagai bentuk ibadah atau ritual yang perlu dilakukan dan dilalui oleh jemaah bagi memenuhi syarat menunaikan ibadah haji mereka seperti berihram iaitu mengenakan pakaian ihram dengan niat untuk haji, berwuquf di padang Arafah, bertawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali, melontar batu di jumrah Aqabah, bersa’i iaitu berjalan atau berlari-lari secara sederhana di antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, tahallul iaitu bercukur atau menggunting rambut sesudah selesai melaksanakan sa’i dan lain-lain lagi sebelum melakukan ibadah akhir korban serta menyambut Aidiladha (Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji).

Dalam melaksanakan dan menunaikan segala aspek ibadah atau ritual dalam proses menunaikan haji adalah penting juga bagi jemaah haji untuk memahami tujuan sebenar sesuatu ibadah atau ritual itu dibuat. Jemaah haji tidak boleh hanya melaksanakan dan menunaikan segala ibadah atau ritual tanpa memahami dengan mendalam tujuan atau objektif sebenar sesuatu ibadah atau ritual itu dilakukan oleh mereka. Adalah dibimbangi, sekiranya jemaah hanya menunaikan aspek ibadah atau ritual haji sahaja tanpa memahami dengan mendalam tujuan utama sesuatu jenis ibadah atau ritual itu dilakukan, ibadah haji mereka akan menjadi sia-sia sahaja dan tidak membawa sebarang makna. Segala aspek ibadah atau ritual dalam ibadah haji ini mempunyai tujuan, objektif serta maksud yang tertentu. Sesuatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW dalam menunaikan ibadah haji mempunyai maknanya tersendiri dan ia bukannya dilaksanakan untuk tujuan suka-suka atau untuk sia-sia sahaja. 

Hanya mereka yang dapat berfikir dengan tenang dapat memahami tujuan atau objektif bagi setiap ritual atau ibadah haji yang dilalui dan ditunaikan oleh mereka. Selain daripada memenuhi aspek rohani atau spiritual, segala bentuk ibadah atau ritual yang telah ditetapkan melalui ibadah haji bertujuan melatih umatnya supaya menjadi lebih merendah diri, berdisiplin serta berakhlak baik. Ibadah haji juga menuntut umatnya supaya menjadi lebih bersabar, saling bekerjasama, bertoleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Ibadah haji ini juga melatih umat Islam supaya lebih bersopan-santun dan berbudi bahasa. Sekiranya segala perkara ini dapat difahami dengan baik oleh para jemaah, segala insiden buruk yang sering dikaitkan ketika menunaikan ibadah haji dapat dihindari seperti kejadian rempuhan, tolak-menolak atau perkara lain yang boleh mengganggu fokus jemaah dan mengundang kecederaan kepada jemaah yang sedang menunaikan ibadah haji. Pada masa sama juga ia dapat membentuk serta menjadikan diri jemaah haji berkenaan menjadi insan yang baik dan layak menjadi contoh kepada umat Islam yang lain serta orang bukan Islam.

Ads by

Tidak ada gunanya sekiranya mereka berjaya memenuhi segala syarat ibadah atau ritual haji tanpa memahami tujuan atau objektif sebenar di sebalik setiap amalan ibadah atau ritual yang dibuat dalam melaksanakan dan menunaikan haji. Proses menunaikan haji juga bukan hanya melibatkan jemaah yang datang dari Malaysia. Berjuta-juta umat Islam dari serata pelosok dunia yang akan datang menunaikan ibadah haji di kota suci Makkah Al-Mukaramah. Ini adalah detik penting untuk semua umat Islam datang berkumpul dan saling mengenali antara satu sama lain. Inilah peluang utama untuk jemaah haji bertegur sapa dan menghulurkan sebarang jenis bantuan yang perlu di antara sesama mereka tanpa mengira latar belakang dan warna kulit. 

Semua perkara baik ini penting untuk difahami dan dilakukan bukan hanya untuk membawa kebaikan dan manfaat terhadap diri jemaah haji yang terlibat dan untuk umat Islam itu sendiri malah ia penting untuk dijadikan sebagai contoh serta sebahagian daripada proses dakwah kepada orang bukan Islam di serata pelosok dunia yang melihat perjalananan ibadah haji ini melalui kaca televisyen dan media sosial di negara mereka. Semoga Allah SWT melindungi keselamatan dan kesihatan semua jemaah haji yang sedang menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun ini serta semoga semua jemaah haji mendapat haji yang mabrur

Leave a Reply

Your email address will not be published.