Jadilah sebaik-baik umat


FIRMAN Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud: Kamu (Umat Nabi Muhammad s.a.w.) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia. (Kamu) menyuruh (manusia) melakukan kebaikan dan (kamu) mencegah daripada melakukan kemungkaran dan (kamu) beriman kepada Allah.

Berdasarkan maksud firman Allah di atas, mari bersama kita bermuhasabah dan bertanyakan soalan kepada diri masing-masing; adakah kita sudah berjaya sampai tahap yang disebutkan ayat berkenaan sebagai ‘sebaik-baik umat’? Adakah kita sedang menuju arah terbabit? Atau mungkin juga, kita masih berada di takuk lama dan ayat berkenaan hanya sebagai selingan semata-mata?

Alhamdulillah, di Malaysia umat Islam sudah mampu mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang berkat usaha gigih, ketabahan serta daya tahan yang tinggi, sama ada dalam bidang pendidikan, pekerjaan, sumbangan dan bantuan yang dihulurkan. Setiap kejayaan seharusnya menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih hebat, dalam perjalanan dan usaha kita untuk menjadi khaira ummah.

Namun, di Malaysia, kita masih mempunyai kelemahan dan cabaran-cabaran besar serta masih dibelenggu dengan pelbagai masalah dan isu yang membantutkan kemajuan dan kecemerlangan ummah.

Bermula daripada isu gejala sosial, penagihan dadah, samseng rempit sehingga kepada perkahwinan pada usia muda yang membawa kepada perceraian dan lahirnya keluarga yang gagal berfungsi dengan baik. Setiap kes yang dipaparkan membabitkan pelbagai lapisan generasi masyarakat kita, bermula daripada kanak-kanak hingga peringkat remaja, belia dan dewasa. Makanya, ia mungkin tidak berhenti di sini, juga mungkin bukan masalah hari ini sahaja, sebaliknya ia mempunyai kesan jangka panjang yang boleh menjejaskan generasi akan datang.

Oleh itu, dalam kita memperbaharui azam dan menghirup nafas baharu dengan kedatangan tahun baharu Hijrah ini, mari sama-sama kita fikirkan peranan setiap daripada kita untuk memperkasakan ummah dan mengatasi cabaran bersama.

Pertama, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab di atas kepemimpinannya. (Hadis Riwayat Bukhari). Hadis ini menegaskan setiap Muslim seharusnya menjadi insan yang penuh bertanggungjawab. Lantas, kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di atas setiap apa yang ada di bawah naungan dan jagaan kita. Pancaindera, kekuatan dan keupayaan tubuh badan, tangan dan kaki adalah antara kenikmatan yang diberikan. Namun setiap kenikmatan tidak sunyi daripada tanggungjawab. Begitu juga suami, isteri, anak, harta, kerjaya dan masa, termasuk di dalam amanah. Jika setiap jiwa yang beriman mengambil kira faktor ini dalam kehidupan, ia akan berfungsi sebagai mekanisma yang menggerakkan mereka kepada sesuatu yang baik, halal dan bermanfaat, sama ada kepada dirinya sendiri mahupun kepada yang lain, termasuk manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

Jika setiap manusia menyedari hakikat amanah ini, ia akan lebih berhati-hati supaya tidak menggunakan nikmat yang ada di tangannya untuk melakukan perkara yang menyalahi hukum Allah, mahupun hukum akal.

Kedua, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ramai manusia yang terpedaya dengan dua (jenis) kenikmatan; (iaitu) kenikmatan kesihatan (yang baik) dan kelapangan masa. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Mutakhir ini, masyarakat kita mencatatkan jumlah peningkatan yang tinggi dalam kadar pesakit penyakit yang serius seperti kencing manis, jantung, ginjal dan sebagainya. Oleh yang demikian, kesedaran dalam kalangan umat Islam amat penting supaya setiap Muslim menjaga kesihatan yang dianugerahkan. Muslim juga perlu menggunakan kesempatan kesihatan yang ada untuk meraih seberapa banyak kesihatan jasmani, rohani, begitu juga intelektual yang sememangnya sekarang ini amat sangat dirasakan kepincangannya. Badan dan akal yang sihat akan membantu dalam membuat pertimbangan yang rasional dan waras. Keputusan hidup akan dilakukan dengan lebih teliti dengan mengambil kira kesan dan akibatnya, sama ada jangka pendek, mahupun panjang.

Manakala kelapangan masa akan digunakan pada perkara yang memanfaatkan diri sendiri dan persekitaran. Jika kita kurang berpengetahuan agama, hadiri kelas agama yang dianjurkan di masjid supaya dapat bersama meningkatkan taraf ilmu agama dan sekali gus keimanan. Jangan kita hanya merasa cukup dengan mempelajari hukum fekah yang hanya bersangkutan dengan bab toharah, solat dan puasa sahaja, sedangkan di sana banyak lagi isu agama yang bersangkutan dengan kehidupan seharian.

Ketiga, mari kita bersama mengimbas kembali matlamat dan wawasan hidup ini. Jika kita seorang anak atau remaja, apakah yang ingin dicapai pada peringkat usia muda ini? Jika kita seorang yang bakal mendirikan rumah tangga, apakah matlamat dan wawasan apabila kita bertekad untuk berkahwin dan adakah pasangan kita juga mempunyai visi dan arah tuju yang serupa? Jika kita sudah menjadi ibu dan bapa, apa persediaan yang sudah dipersiapkan untuk dibekalkan kepada anak-anak kita melalui kehidupan mereka? Adakah kita pernah merealisasikan wawasan terbabit dalam bentuk bertulis sehingga boleh dan mudah difahami oleh diri sendiri mahupun orang yang tersayang? Bagaimana dengan perancangan kewangan dan kehidupan untuk lima, 10 atau 15 tahun akan datang.

Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Orang yang bijaksana itu adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal (bekerja) untuk bekalan selepas matinya. (Manakala) orang yang lemah itu adalah sesiapa yang mengikut hawa nafsunya dan kemudian mengharap (pertolongan) Allah. (Hadis Riwayat Tirmizi).

Dengan hadis ini, ia menjadi hujah ke atas sesiapa yang beranggapan bahawa kita tidak perlu berusaha dan hanya serahkan segalanya kepada Allah. Perlu disedari bahawa Islam itu dinamik dan sentiasa ke hadapan. Jika kita ketinggalan, ia hanya kesilapan sendiri yang gagal menterjemahkan Islam dalam realiti kehidupan sebagaimana yang dirintis oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW.

Masjid dan surau di tempat kita tidak lengang dengan program pengukuhan kerohanian dan membangun jati diri sosial. Hadiri program yang mengajar kita kemahiran pengurusan rumah tangga dan pemantapan keluarga bahagia. Jika ilmu dan kemahiran asas ini dapat dimiliki, ia setidak-tidaknya dapat mengurangkan kepincangan dan kelemahan yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini.

Akhirnya perlu diinsafi bahawa setiap daripada kita membawa obor Islam yang diamanahkan oleh Allah menerusi nikmat-Nya untuk menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin. Jangan kita asyik berhibur, berfoya-foya, menyalahkan nasib dan berpaling tadah kerana sesungguhnya sifat sedemikian itu tidak layak disandarkan kepada hamba yang benar-benar beriman.

,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *