Dr Mohd Khafidz Soroni

PADA Rabu 27 Zulhijah 1443H bersamaan 27 Julai lalu telah kembali ke rahmatullah seorang tokoh ulama dan pendakwah terkemuka dari Hadhramaut, Yaman al-Allamah al-Murabbi al-Habib Abu Bakr al-Adni bin Ali al-Masyhur pada usia 77 tahun. Beliau berketurunan keluarga Ba’alawi yang terkenal bersambung nasab keturunan mereka sampai kepada Saidina Husain bin Ali bin Abi Talib RA bersama Fatimah RA, puteri Rasulullah SAW.

Al-Habib Abu Bakr al-Adni banyak menghabiskan masa hidupnya untuk mengajar ilmu, berdakwah, mendidik umat dan mengarang kitab. Beliau membina belasan maahad tarbiah Islam, pusat pengajian dan institusi penyelidikan ilmiah di pelbagai tempat di Yaman. Dalam rangka kembara ilmu dan dakwahnya, beliau pernah sampai ke beberapa negara antaranya ke Hijaz, Mesir, Syam, Jordan dan Sri Lanka.

Allahyarham terkenal sebagai seorang ilmuwan dan pemikir yang prolifik. Antara aspek penting yang diketengah dan dikemukakan oleh beliau dalam menghadapi cabaran dan pemikiran semasa ialah tentang tanda akhir zaman. Perbincangan mengenainya dinamakan oleh beliau sebagai ‘fiqh at-tahawwulat’, yang bermaksud kefahaman tentang perubahan situasi daripada satu hal keadaan kepada satu hal keadaan lain yang terjadi di sepanjang sejarah Islam sehinggalah akhir zaman berdasarkan petunjuk al-Quran dan sunah. Roh perbincangan beliau bertitik tolak daripada hadis Jibril AS yang masyhur mengenai Iman, Islam dan Ihsan. Ketiga-tiga perkara ini sering disebut sebagai tiga rukun ad-Din. Namun sebenarnya, dalam hadis Jibril AS mengandungi rukun ad-Din yang keempat iaitu mengenai tanda kiamat (asyrat as-sa’ah).

Perhatikan apabila Jibril AS bertanya pada kali keempat: “Khabarkan kepadaku tentang Hari Kiamat”. Baginda SAW membalas: “Tidaklah orang yang ditanya itu lebih mengetahui tentangnya daripada orang yang bertanya.” Jibril berkata: “Maka, khabarkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda: “(Antara tandanya) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menggembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (bertukar menjadi kaya raya).” Riwayat Muslim

Justeru, al-Habib Abu Bakr al-Adni menegaskan bahawa rukun ad-Din itu ada empat dan ia sering dilupakan oleh kebanyakan orang yang terus alpa mengurus kesibukan duniawi. Penegasan ini dapat dirujuk dalam bukunya, Usul ad-Din al-Arba’ah: at-Thawabit wa al-Mutaghayyir. Meskipun dalam hadis tadi hanya disebutkan dua sahaja tanda kiamat, namun ia tidak hanya terbatas kepada kedua-duanya. Dua tanda ini hanya mewakili bentuk perubahan situasi yang berlaku pada akhir zaman daripada satu hal keadaan sebelumnya kepada satu hal keadaan lain sesudahnya.

Beliau menjelaskan bahawa pengetahuan mengenai tanda kiamat sebagai rukun ad-Din yang keempat amat penting dan perlu lebih diperkasakan terhadap umat Islam, lebih-lebih lagi pada akhir zaman ini. Tanda kiamat itu terbahagi tiga, iaitu tanda kecil, pertengahan dan besar. Semua perkara ini disentuh dan dihurai secara terperinci dalam pelbagai kitab karangan beliau seperti al-Nubzah as-Sughra, al-Usus wa al-Muntaliqat, al-Talid wa at-Tarif dan al-Marsad an-Nabawi.

Bukan sekadar itu sahaja, beliau turut menjelaskan cara untuk menghadapi tanda kiamat tersebut. Perbincangan tentangnya dinamakan oleh beliau sebagai ‘sunnah al-mawaqif’, iaitu tatacara dan sikap Nabi SAW serta Khulafa al-Rasyidin RA berhadapan dengan perubahan situasi dan fitnah yang berlaku sesuai dengan kemaslahatan umum. Ia bertitik tolak daripada hadis al-lrbadh bin Sariyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku mewasiatkan kamu sekalian supaya bertakwa kepada Allah SWT dan supaya mendengar serta taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa dalam kalangan kamu yang masih hidup nanti, nescaya dia akan melihat banyak perselisihan. Maka, hendaklah kamu sekalian berpegang dengan sunahku dan sunah al-Khulafa al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi gerahammu (iaitu berpegang teguhlah dengannya). Dan berwaspadalah kamu daripada perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah pula adalah sesat.” Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih

Maka, mengetahui sunah Nabi SAW dan sunah al-Khulafa al-Rasyidin RA dalam menghadapi perubahan situasi atau fitnah pada akhir zaman cukup penting bagi setiap orang yang inginkan keselamatan dunia serta akhirat.

Semoga Allah SWT mengampuni dan merahmati al-Habib Abu Bakr al-Adni yang telah menghabiskan seluruh hidupnya untuk ilmu, agama dan dakwah tanpa mengenal rasa jemu serta penat lelah sehinggalah hembusan nafas terakhirnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.