Dr Mohd Khafidz Soroni

Hadis sahih menurut Imam as-Syafie ialah hadis yang bersambung sanadnya, mempunyai perawi dipercayai dan tidak bercanggah dengan dalil yang lain.

Pengetahuan Imam as-Syafie yang luas mengenai hadis dapat dilihat pada ungkapan Imam Ibn Khuzaymah, seorang tokoh hadis dan fiqah yang terkenal dengan penguasaannya terhadap kalam Imam as-Syafie: “Aku tidak tahu ada satu sunah Rasulullah SAW mengenai halal dan haram yang tidak dimuatkan oleh as-Syafie di dalam kitab-kitabnya.”

Meskipun demikian, dengan tawaduk Imam as-Syafie masih berkata: “Jika hadis itu sahih, maka ia adalah mazhabku.”

Bagaimanapun, kata-kata Imam as-Syafie yang masyhur ini menyebabkan kekeliruan dalam kalangan sesetengah orang. Bagi menghuraikan ungkapan itu, Imam Taqiy al-Din al-Subki menyusun sebuah kitab khusus mengenainya berjudul Ma’na Qawl al-Imam al-Muttalibi: Iza Sah al-Hadith Fahuwa Mazhabi.

Beliau menolak pendapat sebilangan ulama Syafie seperti Ibn Hibban dalam Sahihnya, Abu Muhammad al-Juwayni dan Abu al-Hasan al-Karaji yang menisbahkan sesuatu pandangan kepada Imam as-Syafie hanya berdasarkan kata-katanya itu.

Walhal Imam as-Syafie menujukan bicaranya kepada ulama mujtahid atau ulama yang ahli mengenai usul dan kaedah dalil syarak bukannya umum kepada semua ulama. Maksud ‘hadis sahih’ di dalam kata-kata beliau juga ialah hadis berkenaan sesuai untuk dijadikan dalil setelah dilihat daripada segenap aspek terutama tiada dalil lain yang menyanggahnya.

Kata Imam Ibn al-Solah: “Beramal dengan zahir kata-kata Imam as-Syafie berkenaan bukanlah mudah. Justeru, tidak semua faqih dibolehkan untuknya menyendiri dalam beramal dengan hadis yang dilihatnya sebagai hujah. Dalam kalangan ulama Syafie yang mengamalkan kaedah ini, ada yang beramal dengan sebuah hadis yang ditinggalkan oleh Imam as-Syafie dengan sengaja disebabkan suatu sebab yang beliau ketahui, namun tersembunyi bagi orang lain. Iaitu seperti Abu al-Walid Ibn Abi al-Jarud daripada kalangan murid-murid as-Syafie, apabila katanya: ‘Telah sahih hadis: Batal puasa orang yang membekam dan yang dibekam. Maka, aku katakan: Kata Imam as-Syafie: Batal puasa orang yang membekam dan yang dibekam.”

Bagaimanapun, ulama menolak pendapat Abu al-Walid itu kerana Imam as-Syafie telah meninggalkannya sedangkan beliau tahu sahihnya disebabkan hadis berkenaan telah mansuh di sisi beliau.”

Kata Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’: “Apa yang dikatakan oleh Imam as-Syafie ini bukanlah bermakna bahawa setiap orang yang melihat sebuah hadis sahih boleh berkata: ‘Ini adalah mazhab as-Syafie’ dan beramal dengan zahir kata-katanya itu, tetapi kata-kata ini adalah bagi orang yang mencapai martabat ijtihad dalam mazhab atau hampir dengannya. Syaratnya ialah berat pada sangkaannya bahawa Imam as-Syafie tidak menemui hadis berkenaan atau tidak mengetahui sahihnya. Ini hanya dibolehkan selepas dia menelaah semua kitab Imam as-Syafie dan lain-lain daripada kitab muridnya yang mengambil ilmu daripadanya serta kitab lain yang seumpamanya. Ia satu syarat yang sukar, agak sedikit orang yang dapat memenuhinya. Ulama mensyaratkan seperti apa yang kami sebutkan itu sebenarnya kerana Imam as-Syafie meninggalkan beramal dengan zahir banyak hadis yang beliau pernah lihat serta mengetahuinya, namun terbukti di sisi beliau sama ada ia bermasalah, dimansuhkan, boleh dikhususkan, ditakwil atau seumpamanya.”

Imam Abu Syamah menegaskan: “Tidak dapat melaksanakan perkara ini kecuali seorang alim yang diketahui tahap ijtihadnya dan dialah orang yang ditujukan bicaranya oleh Imam as-Syafie dengan katanya: ‘Jika kamu sekalian menemui hadis Rasulullah SAW yang menyalahi pendapatku, maka ambillah ia dan tinggalkanlah apa yang telah aku kata’. Dan ini bukanlah untuk semua orang.”

Imam al-Qarafi al-Maliki dalam Syarh al-Tanqih turut mengkritik: “Ramai fuqaha Syafie berpegang dengan kata-kata ini. Kata mereka: ‘Mazhab Syafie adalah sekian kerana hadis telah sahih mengenainya.’ Walhal ia adalah satu kesilapan kerana tidak boleh tidak perlu menafikan dulu ada dalil yang menyanggah. Pengetahuan mengenai tiada dalil yang menyanggah pula hanya terbatas pada orang yang mempunyai keahlian membuat istiqra’ (penelitian mendalam) terhadap syariat sehingga layak untuk dikata: ‘Tiada dalil yang menyanggah hadis ini.’ Adapun istiqra’ orang yang bukan mujtahid mutlak maka ia tidak boleh diambil kira. Orang yang berkata demikian daripada kalangan ulama Syafie itu sepatutnya mengusahakan dulu untuk dirinya layak membuat istiqra’ sebelum ia mengeluarkan fatwa berkenaan.”

Semua nukilan ini adalah bagi menjelaskan betapa sukarnya syarat berkenaan agar setiap orang tidak mengambil mudah dengan hal ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *