PERTUBUHAN Muafakat Pondok SeMalaysia pada hari ini, Isnin (1 Ogos 2022):

1. Kami Warga Pondok amat berdukacita dengan kenyataan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Bin Abd. Majid (Pengerusi Pondok Perdana & Majlis Dakwah Negara MDN) dalam kenyataan beliau melalui akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Sekolah Pondok Sebar Ekstremis’ yang dipaparkan pada hari Ahad (31 Julai 2022), kelmarin.

2. Institusi pengajian pondok di negara Malaysia ini merupakan salah satu institut pengajian tertua yang telah berjaya melahirkan ramai Alim Ulama’, Mufti, Ahli Majlis Fatwa, Pemimpin Negeri dan Negara dengan pengurusan dan pentadbiran yang lebih bersih dan amanah.

3. Pengajian di pondok menekankan pembelajaran agama, terutama Tauhid, Feqah, Tasawuf dan sebagainya. Ditambah lagi dengan pembelajaran ilmu alat seperti Nahu, Sorof dan sebagainya sebagai syarat penguasaan ilmu Turath yang lebih tinggi, dengan kaedah pengajian dari kulit ke kulit.

4. Dalam pengajian pondok juga telah menekankan adab yang sangat tinggi dan penekanan amal ibadah yang ditekankan oleh seorang Guru Murabbi dan Mursyid yang ikhlas mengajar tanpa gaji serta hampir sepenuh masa bersama dengan pelajar bagi memastikan para pelajar pondok beramal mengikut disiplin serta garis panduan syara’ berdasarkan al-Quran, Hadis dan Ijmak Ulamak.

5. Institusi pondok juga merupakan benteng yang mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini dari diracuni fahaman songsang yang cuba dibawa masuk ke dalam masyarakat di negara ini, menyebabkan banyak aliran songsang seperti Syiah, Wahabi, Liberal dan sebagainya yang membuat tuduhan liar kepada institusi pondok dengan tujuan menghapuskan sistem ini.

6. Di peringkat Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia (PMPS) juga, kita telah mengumpulkan 313 buah pondok di seluruh Malaysia yang dipantau oleh Pengerusi Negeri masing-masing yang terdiri dari kalangan Tuan-tuan Guru Pondok, begitu juga kita mengatur dan menyelaras beberapa program seperti Pondok Mahasiswa yang telah mendapat pengiktirafan universiti tempatan. Bahkan PMPS juga sedang dalam usaha mengatur sukatan pembelajaran bagi pensijilan untuk mendapatkan pengiktirafan dari pihak kerajaan bagi membuka ruang kepada pelajar pondok menyambung pelajaran di dalam dan luar negara.

7. Dalam memperkenalkan institusi pondok kepada masyarakat, kita juga sedang mengumpulkan Khazanah (Manaqib) Ulamak untuk diperkenalkan kepada masyarakat serta dalam perancangan membina Muzium Ulamak yang diuruskan oleh Unit Arkib PMPS. Di samping itu, kita telah menganjurkan Program Pelancongan Pondok, menginap dan mengikuti pengajian di pondok agar masyarakat lebih mengenali dan merasai suasana sebenar di pondok sehingga masyarakat sendiri menolak tohmahan seperti mengatakan ‘Sekolah Pondok Sebar Ekstremis’ dan sebagainya. 

8. Pihak PMPS juga membuka seluasnya ruang untuk berdialog kepada sesiapa sahaja bagi mengetahui sistem sebenar dan keadaan institusi pondok dengan lebih dekat agar menolak tuduhan negatif kepada institusi ini.

9. Justeru, pihak Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia (PMPS) menuntut kepada pihak Profesor Emeritus Dr. Mahmood Zuhdi Bin Abd. Majid dan akhbar Utusan Malaysiauntuk memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan yang diterbitkan. Hal ini agar dapat menaga hati para alim ulamak dan warga pondok yang telah bekerja dengan penuh keikhlasan selama ini demi agama, bangsa dan negara.

USTAZ AHMAD MARZUKI MAT YUSOF
Pengerusi
Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia (PMPS)

Leave a Reply

Your email address will not be published.