Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara pertanyaan yang paling banyak diajukan kepada penulis ialah tentang satu perkongsian artikel pendek bertajuk: ‘Adab menziarahi kubur.’ Setelah bertahun-tahun ia tular di media sosial dan dijawab oleh penulis berulang kali, namun sehingga hari ini masih ada orang yang bertanyakan perkara sama. Justeru, kali ini penulis ingin mengulas mengenainya agar dapat dijadikan rujukan oleh pembaca.

Antara yang disebut dalam artikel berkenaan ialah disunatkan menziarahi kubur pada Khamis selepas Asar, sepanjang Jumaat dan Sabtu sebelum Zuhur kerana waktu ini roh ada di perkuburan. Bagaimanapun, tiada dalil sahih mengenai perkara ini.

Malah, waktu yang disebut dalam beberapa athar daif berbeza sedikit dengan waktu yang dinyatakan. Antaranya, Muhammad bin Wasi’ (wafat 123H), seorang tabi’ tabiin berkata: “Disampaikan kepadaku bahawa orang mati itu mengetahui orang yang menziarahi mereka pada Jumaat, hari sebelumnya (Khamis) dan hari selepasnya (Sabtu)”.

Kedua, ad-Dhahhak bin Muzahim (wafat 105H), juga seorang tabi’ tabiin berkata: “Sesiapa yang menziarahi kubur pada Sabtu sebelum terbit matahari (syuruk), maka si mati mengetahui ziarahnya itu disebabkan keistimewaan Jumaat”. Athar yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman ini hanya sekadar saranan yang tidak boleh dijadikan hujah.

Masalah kedua yang disebut dalam artikel berkenaan ialah kedudukan hadis: “Seorang anak yang menziarahi kubur ibu bapanya pada hari-hari tersebut di atas akan dicatatkan kepadanya pahala seperti membuat kebaikan kepada kedua-dua ibu bapanya semasa hayat mereka dan dosa anak itu diampunkan oleh Allah SWT. Jika anak itu adalah seorang yang derhaka semasa hayat ibu bapanya, dengan menziarahi kubur mereka akan dicatatkan sebagai anak yang taat”.

Sebenarnya tiada lafaz hadis yang berbunyi sedemikian. Lebih mendukacitakan, ia disandarkan kononnya sebagai riwayat Imam al-Bukhari dan diambil daripada kitab Riyadh as-Solihin oleh Imam an-Nawawi, walhal ia tidak benar serta tidak wujud sama sekali dalam kitab mereka. Ia adalah suatu pendustaan dan jenayah ilmiah.

Setelah diteliti, kemungkinan ia adalah gabungan daripada dua hadis berlainan. Satu sangat daif dan satu lagi daif sahaja. Pertama, hadis: “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada kedua-duanya pada setiap Jumaat, nescaya ia akan diampuni dan ditulis sebagai anak yang berbakti”.

Menurut al-Hafiz al-Iraqi: “Ia diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Saghir dan al-Awsat daripada hadis Abu Hurairah RA. Juga oleh Ibnu Abi ad-Dunya dalam kitab al-Qubur daripada riwayat Muhammad bin an-Nu’man yang memarfu’kannya (mengangkatnya kepada Nabi SAW), sedangkan ia adalah mu’dhal (gugur dua perawi secara berturut). Muhammad bin an-Nu’man ini adalah majhul (tidak diketahui kelayakannya) dan gurunya pula di sisi al-Tabarani, Yahya bin al-‘Ala’ al-Bujali adalah matruk (ditinggalkan riwayatnya)”. Secara ringkas, status hadis ini amat daif.

Kedua, mursal Ibnu Sirin: “Sesungguhnya seorang lelaki yang kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia, sedangkan ia derhaka kepada mereka, lalu dia berdoa kepada Allah bagi mereka setelah kedua-duanya meninggal dunia, maka Allah akan mencatatkannya dari kalangan anak yang berbakti.” Menurut al-Hafiz al-Iraqi: “Ia diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dalam kitab al-Qubur dan mursal yang sahih sanadnya. Juga diriwayatkan oleh Ibn Adi daripada riwayat Yahya bin Uqbah bin Abi al-Ayzar daripada Muhammad bin Jahadah daripada Anas RA. Menurut Ibn Adi, diriwayatkan juga oleh al-Salt bin al-Hajjaj daripada Ibn Jahadah daripada Qatadah daripada Anas RA. Namun, Yahya bin Uqbah dan al-Salt bin al-Hajjaj, kedua-duanya adalah daif.”

Inilah kedudukan asal hadis yang kononnya disandarkan kepada Imam al-Bukhari secara bohong. Penulis berharap penularannya dihentikan dan tidak lagi disebarkan. Mereka yang ingin berkongsi maklumat bermanfaat sewajarnya memastikan terlebih dahulu kedudukannya tepat menurut sumber rujukan asalnya sebelum disebarkan.

Hadis pertama itu sangat daif dan tidak dapat dijadikan sandaran hujah. Tanpa menafikan, menziarahi kubur ibu bapa secara umumnya adalah suatu amalan yang amat baik.

Hadis kedua pula agak ringan daifnya dan mungkin boleh meningkat lebih kuat dengan sokongan jalan riwayat yang lain. Malah, mursal perawi thiqah dapat dijadikan hujah menurut sebahagian ulama. Jika tidak pun, ia masih dapat dijadikan sebagai motivasi buat mereka yang mungkin tidak sempat berbakti kepada ibu bapa. Doa seorang anak pastinya akan sampai kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia tanpa khilaf dalam kalangan ulama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *