4.0 APAKAH LATIHAN2 KEROHANIAN TERSEBUT SERTA APA DALILNYA?

Berikut kita cuba bentangkan amalan2 pokok didalam Toriqat Sufiyyah yang semuanya bersumberkan Wahyu Ilahi serta di amalkan oleh Nabi dan para Sahabat Baginda.

1) Taubat dengan taubat yang benar.

Inilah unsur paling penting dan amalan yang terus menerus yang dikehendaki si salik (orang yang menuju Allah) melakukannya. Kerana sifat manusia sentiasa lalai dan lupa kepada Allah Ta’ala. Sentiasa melakukan dosa dan ma’siat zahir dan ma’siat batin. Maka wajib membersihkan diri sungguh2 dengan taubat.

Firman Allah :

يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُواْ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحاً
“Wahai orang2 yang beriman! Taubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang sungguh) ” (At-Tahrim :8 )

Firman Allah :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَبِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“…………Sesungguhnya Allah mengasihi orang2 yang banyak bertaubat dan mengasihi orang2 yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222)

2) Zikrullah dengan zikir yang banyak2

Ini adalah asas kepada semua Toriqat2 Sufiyyah. Dan zikirnya berperingkat-peringkat bermula dari jihar (lafaz dengan lidah) sehingga keperingkat kedalam hati.

Firman Allah:

أَلاَ بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“Ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tetap. (tenang, tenteram)” (Ar-Ra’d .. 28 )

Firman Allah :

يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اذْكُرُواْ اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً

Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allahdengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; (Al-Ahzab, (33) : 41)

Firman Allah:

يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تُلْهِكُمْ أَمْوَلُكُمْ وَلاَ أَوْلَـدُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْخَـسِرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” ( Al-Munafiqoon, (63) : 9)

Zikir adalah penyuci kepada hati. Dengan banyak2 zikrullah hati seseorang akan suci sedikit demi sedikit dari kekotoran duniawi lalu bercahaya dengan cahaya Rabbaniyyah.Melalui cahaya ini seseorang akan dibukakan oleh Allah kepada ketuhanan, yang menerbitkan Tauhid dan keimanan yang teguh kepada Allah Ta’ala.

3). Suluk /Khalwah /uzlah

Amalan ini berdasarkan Sunnah Nabi berkhalwah / mengasingkan diri di Gua Hira’ Jabal Nur. Amalan ini telah diakui oleh seluruh Ulama Mu’tabar sebagai amalan yang sangat berkesan kedalam hati dan ruh.

Seseorang yang ingin menyucikan dirinya daripada segala kekotoran jiwa serta segala aghyar (selain Allah) perlu mengasingkan dirinya beberapa waktu dari manusia untuk beribadat, berdoa dan munajat kepada Allah.

Keheningan dari keriuhan dunia akan memberikan ketenangan jiwa didalam menghadap Rabbul Jalil. Dengan ketenangan ini seseorang akan dapat memusatkan ingatan dan ruhnya kepada Allah Ta’ala.

4) Banyakkan solawat

Kebanyakan kita telah mengetahui perintah Allah Ta’ala supaya bersolawat atas Nabi صلى الله عليه وسلم .

Ramai daripada kita mengamalkannya untuk mendapatkan berbagai kelebihan samada kebaikan dunia atau kebaikan akhirat :

Menurut pandangan Ahli Ma’rifat/Ahli Sufi, solawat atas Nabi adalah menempati zikrullah, iaitu ianya menyucikan hati dan menerbitkan cahaya keimanan didalam hati. Cahaya keimanan ini membukakan hati kepada alam ketuhanan dan Tauhid serta menerbittkan tawqa yang tinggi serta kasih kepada Allah dan RasulNya yang tiada berbelah bahagi. Maka benarlah kata Nabi, orang2 yang paling banyak bersolawat atas Baginda akan berada bersama Baginda di akhirat kelak.

Firman Allah Ta’ala :

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. [Surah Al-Ahzab: 56]

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

“Barangsesiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah Ta’ala akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. (Muslim)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

“Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku”. [Tirmizi]

Dari Anas Radiyallahu ‘Anhu,sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

“Barangsiapa yang bersolawat keatasku(Nabi) dengan sekali solawat ,maka Allah akan bersolawat keatasnya sepuluh solawat,dan menghapuskan sepuluh kesalahan(Dosa) dan diangkat pula sepuluh derajat (riwayat oleh Ahmad ,Nasa’ie dan Al-Hakim.)

Dari Abi Darda’ Radiyallahu ‘Anhu,bersabda Rasulullah sallallahu Alayhi wasallam:

“Barangsiapa besolawat keatasku(Nabi) sewaktu pagi sepuluh kali dan sewaktu petang sepuluh kali ,maka engkau akan mendapatkan syafaat pada hari Kiamat” (Attabrani).

5). Banyakkan solat2 sunnat

Terutama solat taubat dan solat tahajjud. Dalil2 kelebihan dan kebaikan solat sunnat juga telah diketahui umum.

Bagi kebanyakan orang awam, solat sunnat dilakukan dengan tujuan2 tertentu samada untuk mendapat pahala atau untuk kebaikan2 dunia.

Di sisi Ahli Ma’rifat ianya bukan saja bertujuan untuk mendapat kebaikan2 seperti diatas bahkan ianya dijadikan sebagai suatu ibadah untuk mensyukuri ni’mat Allah yang terlalu banyak serta munajat dan menyungkur sujud di hadapan Allah menyatakan kehinaan mereka sebagai hamba Allah dihadapan Tuhan Rabbul Jalil Yang Maha Agung!

Bangun ditengah kesunyian malam menghadap Allah ketika insan sedang lena, menimbulkan ketenangan berhubung dan munajat kepada Allah.

6). Mujahadah melawan keinginan nafsu kekejian.

Melatih diri mujahdah sungguh2 melawan hawa nafsu yang suka kepada kekejian dan bersedap-sedap pada keduniaan dengan cara :

i) Kurangkan makan
ii) Kurangkan bercakap. Hentikan bercakap yang tiada faedah/sia-sia
iii) Kurangkan tidur
iv) Kurangkan pergaulan yang tidak perlu

Nafsu manusia memang inginkan kesenangan, suka berpoya-poya dengan segala keindahan dan keseronokan duniawi. Seseorang yang mengikuti hawa nafsunya akan merosakkan hati dan Imannya. Akibatnya seseorang akan jauh dari Rahmat Allah dan akhirnya membinasakan diri sendiri.

Menuruti segala kemahuan hawa nafsu kejahatan yang cenderung kepada keduniaan adalah dicela dan dikeji dalam syara’ :

Firman Allah :

أَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً

“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (Al-Furqan :43)

Firman Allah :

وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَـهُ بِهَا وَلَـكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الاٌّرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـثَايَـتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Al-Araf (7) : 176)

Sebaliknya Allah Ta’ala memuji hamba2Nya yang sentiasa menyucikan hatinya serta mengengkari kemahuan nafsu kejahatan hatinya.

Firman Allah :

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى – فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِىَ الْمَأْوَى

Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya. ( An-Nazi’at (79) : 40, 41)

Firman Allah :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَبِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“…………Sesungguhnya Allah mengasihi orang2 yang banyak bertaubat dan mengasihi orang2 yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222)

7). Lazimkan membaca Al-Qur’an

Banyak kelebihan dan keistimewaan diberikan oleh Allah Ta’ala kepada mereka2 yang berjinak2 dan memuliakan Kalam Allah.

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم .

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkan”(Riwayat Bukhari) Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : “Siapa saja yang membaca satu huruf Al Qur’an, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan menjadi sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan bahwa alif-lam-mim itu satu huruf, melainkan alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf” (Turmudzi – hasan shahih)

Menurut pandangan Ahli Ma’rifat, Al-Quran adalah cahaya dan menerangi hati mereka yang membacanya dengan tadabbur dan penuh khusyu.

Demikianlah kami bentangkan sebahagian dari amalan2 penting didalam Toriqat Sufiyyah. Kita melihat semua amalan2 tersebut adalah bersumberkan Al-Qur’an dan Hadis Nabi صلى الله عليه وسلم .

Kita cuma sebut secara umum tanpa perincian yang panjang. Terutama didalam amalan zikrullah yang menjadi asas kepada didikan keruhanian ini, terdapat banyak sekali tingkatan zikir dan bentuk-bentuk zikir yang berlainan. Mulai dari zikir lisan kemudian disusuli zikir hati, zikir nafas, zikir ruh dan lainnya. Kemudian ini disususli pula dengan berbagai tingkatan muraqabah dan mushahadah. Semua ini mengambil masa yang sangat panjang serta memerlukan kesungguhan dan istiqamah. Perkara ini akan di bincangkan pada masa akan datang jika perlu.

bersambung Insya Allah…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *